Serbuan dan perampasan kargo di Boston Jamuan_Teh_Boston

Sebuah kapal kargo pembawa teh bernama Dartmouth tiba di Pelabuhan Boston dari London - kapal ini asalnya memunggah minyak ikan paus ke London dan membawa kargo teh sebagai bahan pertukaran dalam pelayaran kembalinya. Samuel Adams, ketua parti Whig (kemudiannya menjadi kelompok Patriot dalam peristiwa lanjutan), meminta suatu perjumpaan hebat diadakan di Faneuil Hall pada 29 November 1773. Ribuan penduduk datang lebih banyak daripada yang dirancangkan, maka perjumpaan hebat ini dipindahkan ke balai raya Old South Meeting House di pusat bandar.[7]

Menurut undang-undang British, kapal kargo diberi tempoh selama 20 hari untuk membayar cukai import atau dirampas dan dipunggah di tanah dagangan sebagai hukuman.[8] Perjumpaan ini meluluskan suatu resolusi usulan Adams yang menggesa kapten kapal Dartmouth berlayar keluar tanpa membayar cukai import. Sebanyak 25 orang pemuda dipilih agar memerhatikan kapal kargo Dartmouth dan menghalang kapal tersebut memunggah teh di pelabuhan.[9] Sementara itu, dua kapal kargo teh lain iaitu Eleanor dan Beaver tiba berlabuh di pelabuhan Boston.

Pada 16 Disember iaitu tarikh akhir syarat yang dikenakan untuk kapal Dartmouth, sebanyak kira-kira 5,000[10] hingga 7,000[11] orang - hampir separuh bilangan penduduk Boston seramai 16,000[10] orang - berkumpul di Old South Meeting House; ada daripada mereka berpakaian kaum peribumi Mohawk[12] yang bukan sahaja bertujuan menyembunyikan identiti tetapi juga sebagai suatu penunjukan simbolik kelompok ini sebagai "anak-anak asal benua Amerika".[13] Setelah para hadirin mendapat laporan bahawa Gabenor Hutchinson enggan membenarkan kapal-kapal kargo teh yang berlabuh keluar tanpa membayar sebarang cukai; Adams dengan yakinnya berkata "perjumpaan ini langsung tidak dapat berbuat apa-apa lagi untuk menyelamatkan negeri ini".[nota 1] Para hadirin sudah hilang kesabaran mereka dan Adams cuba menenangkan keadaan memandangkan perjumpaan besar ini belum boleh bersurai dalam beberapa minit (menurut catatan saksi[14]); namun orang ramai mula merusuh dengan hingar-bingarnya. Seramai 30 hingga 130 orang[13] segera berpusu-pusu keluar dari balai pertemuan itu ke pelabuhan menaiki kapal-kapal Dartmouth, Eleanor dan Beaver lalu membuang kesemua 342 buah kotak kargo teh ke laut.[15]